Cara buat aplikasi web yang mudah walaupun tak pandai coding
HTML, CSS, JavaScript, database dan macam-macam lagi. Kalau tengok kod yang panjang berjela, orang yang tak pernah belajar programming mungkin terus tutup laptop.
Sekarang ceritanya sudah berbeza.
Dengan adanya AI dan platform pembinaan aplikasi moden, kita boleh menghasilkan aplikasi web yang ringkas hanya dengan menerangkan apa yang kita mahu menggunakan bahasa biasa.
Mulakan dengan idea yang kecil
Kesilapan yang mudah berlaku apabila pertama kali mahu membuat aplikasi ialah kita mahu masukkan terlalu banyak fungsi.
Nak ada login.
Nak ada dashboard.
Nak ada sistem pembayaran.
Nak ada AI.
Nak ada database.
Nak semuanya sekali.
Lebih baik mulakan dengan satu masalah kecil yang hendak diselesaikan.
Contohnya, kita mahu membuat aplikasi untuk mengira perbelanjaan harian. Versi pertama mungkin hanya memerlukan tiga perkara: masukkan jumlah pendapatan, masukkan perbelanjaan dan paparkan baki.
Itu sahaja dahulu.
Apabila versi asas sudah berfungsi, barulah tambah fungsi lain.
Pilih platform untuk membina aplikasi
Sekarang terdapat platform yang membolehkan kita membina aplikasi dengan memberikan arahan dalam bentuk teks.
Contohnya, kita boleh menggunakan platform seperti Lovable untuk menghasilkan antaramuka dan fungsi asas aplikasi.
Kita cuma perlu menerangkan aplikasi yang mahu dibuat.
Contoh arahan mudah:
Buat aplikasi web untuk mencatat perbelanjaan harian. Pengguna boleh memasukkan nama perbelanjaan, kategori dan jumlah. Paparkan jumlah perbelanjaan hari ini serta baki bajet.
Daripada arahan seperti ini, AI boleh membantu menghasilkan struktur awal aplikasi.
Tidak semestinya terus sempurna. Anggap sahaja ia sebagai draf pertama.
Jangan terus buat aplikasi besar
Cara paling mudah belajar ialah menggunakan konsep try and error.
Bina satu fungsi.
Cuba.
Kalau rosak, baiki.
Kemudian tambah fungsi kedua.
Sebagai contoh, selepas sistem catatan perbelanjaan tadi berjaya, kita boleh tambah kategori seperti makanan, petrol, bil dan simpanan.
Selepas itu mungkin tambah carta.
Kemudian barulah fikir tentang akaun pengguna dan penyimpanan data.
Cara begini lebih mudah berbanding memberikan arahan yang terlalu panjang dan berharap AI menghasilkan aplikasi sempurna sekali jalan.
Bila perlukan database?
Kalau aplikasi hanya membuat pengiraan sementara, kita mungkin belum memerlukan database.
Tetapi kalau kita mahu maklumat pengguna disimpan dan boleh dibuka semula kemudian, kita perlukan tempat untuk menyimpan data.
Salah satu pilihan ialah Supabase.
Sebagai contoh, aplikasi perbelanjaan boleh menyimpan rekod seperti tarikh, kategori, jumlah dan catatan.
Bahagian ini memang kedengaran lebih teknikal, tetapi AI juga boleh membantu menyediakan struktur database dan sambungannya dengan aplikasi.
Yang penting, jangan masukkan kata laluan atau secret key secara terbuka dalam kod aplikasi.
Uji sendiri sebagai pengguna
Selepas aplikasi siap, jangan terus anggap semuanya sudah berfungsi.
Cuba gunakan aplikasi itu seperti pengguna biasa.
Tekan setiap butang.
Masukkan data pelik.
Kosongkan ruangan.
Cuba buka melalui telefon.
Tengok apa yang berlaku.
Kadang-kadang aplikasi nampak cantik pada komputer tetapi berterabur apabila dibuka pada telefon.
Di sinilah proses pembaikan bermula.
Kita boleh kembali kepada AI dan memberikan arahan lebih spesifik seperti:
Paparan aplikasi terlalu besar pada telefon. Jadikan reka bentuk responsif dan pastikan semua butang mudah ditekan pada skrin kecil.
Lebih jelas arahan kita, lebih mudah AI memahami apa yang perlu diperbaiki.
Tak perlu tunggu pandai coding
Ini bahagian yang paling menarik.
Kita tidak semestinya perlu menjadi programmer terlebih dahulu sebelum mencuba membina aplikasi web.
Namun, ini tidak bermaksud ilmu coding sudah tidak berguna.
Apabila projek semakin besar, pengetahuan tentang database, API, keselamatan, domain dan coding masih sangat membantu.
Bezanya sekarang ialah AI boleh menjadi pembantu sepanjang proses tersebut.
Kita boleh belajar sambil membina.
Mulakan dengan aplikasi pertama
Kalau belum pernah membuat aplikasi, jangan mulakan dengan projek besar.
Cuba bina sesuatu yang boleh disiapkan dalam masa singkat.
Contohnya aplikasi kira kalori, kalkulator bajet, senarai tugasan, pencatat perbelanjaan atau penjana idea kandungan.
Siapkan versi paling asas dahulu.
Apabila berjaya melihat aplikasi sendiri berjalan dalam pelayar web, biasanya kita akan mula faham satu perkara:
Membina aplikasi tidak semestinya bermula dengan belajar ribuan baris kod.
Kadang-kadang ia bermula dengan satu idea kecil dan satu arahan kepada AI.
Kemudian kita belajar sedikit demi sedikit daripada situ.
Ulasan
Catat Ulasan