Gemini Notebook tawar akses percuma buat pelajar kolej

Mengulang kaji pelajaran kini boleh menjadi lebih lancar dengan pembaharuan terbaharu daripada Gemini Notebook. 

Selain membawakan wajah yang lebih segar, beberapa fungsi baharu telah diperkenalkan bagi memberikan pengalaman belajar yang lebih teratur dan menepati keperluan anda.

Kini, anda boleh berbual secara terus dengan nota anda melalui perbualan suara masa nyata di aplikasi mudah alih Android dan iOS. 

Fungsi yang menyokong hampir 100 bahasa ini membolehkan anda bertanya soalan, mencelah pada bila-bila masa, dan menerima bimbingan langkah demi langkah yang bersandarkan sumber rujukan anda sendiri.

Bukan itu sahaja, aplikasi mudah alih ini akan menyertakan perakam audio baharu mulai minggu depan. Ciri ini memudahkan anda merakam sesi syarahan atau mencatat buah fikiran semasa bergerak, melengkapi kemudahan sedia ada yang membolehkan anda memuat naik gambar nota tulisan tangan atau lembaran kerja.

Bagi sesi ulang kaji yang lebih fokus, anda boleh menghasilkan gambaran pembelajaran interaktif di bawah bahagian Laporan. 

Ruang ini menggabungkan ringkasan dengan bahan bantu seperti infografik, kad imbas, serta kuiz. Gemini Notebook turut menambah format kuiz seperti jawapan pendek, pilihan pelbagai, dan isi tempat kosong, di samping membolehkan anda berbincang dengan nota mengenai prestasi anda.

Bagi membantu anda memahami topik yang sukar, ciri Video Ringkas kira-kira 60 saat disediakan dalam lebih 80 bahasa. Video animasi pendek ini membantu menerangkan formula rumit dan konsep sains secara lebih mudah, malah boleh dikongsi bersama rakan sekelas.

Paling menarik, tawaran akses percuma selama setahun kini dibuka untuk pelajar kolej yang layak. 

Pelajar di Amerika Syarikat boleh memanfaatkan pelan percuma Google AI Pro yang bernilai 19.99 dolar sebulan dengan had penggunaan empat kali ganda lebih tinggi. 

Bagi pelajar kolej di lebih 140 pasaran lain, pelan percuma Google AI Plus ditawarkan dengan had penggunaan dua kali ganda lebih tinggi.

Ulasan

Popular

Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic Gesa Syarikat Perlahankan Perkembangan AI

GPT-6 Astra bantu mudahkan kerja profesional

Malaysia peneraju penjanaan imej AI di Asia Tenggara